
Maxis Beri Penjelasan Berhubung Isu Kebocoran Butiran Akaun Seorang Pelanggan
Syarikat telekomunikasi, Maxis tampil memberikan penjelasan berhubung isu kebocoran butiran akaun seorang pelanggan.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Facebook rasmi, pihaknya memaklumkan sedang menyiasat insiden berkenaan yang tular di media sosial malam tadi.
"Semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau sepenuhnya.
"Hasil siasatan kami menunjukkan bahawa ini merupakan insiden terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran.
"Tiada sebarang petunjuk bahawa insiden ini melibatkan pelanggan lain secara lebih meluas. Kami akan menghubungi pelanggan berkenaan pagi ini berkaitan perkara tersebut.
"Kami telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden ini dan sedang mengambil tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang.
"Kami memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited terhadap privasi data dan perlindungan data peribadi," maklum kenyataan itu.





