Zetrix AI bekerjasama dengan Royal Group tubuhkan ASEAN China AI Lab di Indonesia

15/08/2025 - 18:15
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Ogos – Zetrix AI telah memperluaskan inisiatif ASEAN China AI Lab ke Indonesia, menjadikannya makmal kedua yang dibuka selepas Malaysia pada awal tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, Wong Thean Soon berkata, pembukaan makmal itu bertujuan mengukuhkan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di seluruh ASEAN, termasuk pembangunan aplikasi merentas sempadan dan menyesuaikan perkhidmatan AI mengikut keperluan tempatan.
Beliau berkata, perjanjian kerjasama itu telah dimeterai dengan PT Royal Solusi Investasi, sebahagian daripada Royal Group iaitu syarikat pelaburan terkemuka Indonesia yang mempunyai rekod cemerlang dalam bidang teknologi untuk sektor awam dan swasta.
"Portfolio syarikat merangkumi pelbagai inovasi termasuk penyelesaian transformasi digital, realiti terimbuh dan maya, teknologi pendidikan, aplikasi rantaian blok, bioteknologi serta pembangunan projek karbon.
“Kerjasama ini menonjolkan lagi potensi ASEAN menjadi pusat inovasi AI global yang menyediakan model alternatif bagi rantau Global South, mengimbangi model sedia ada dari Barat dan China.
"Aspirasi kami adalah meniru model ini di seluruh ASEAN dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Projek ASEAN China AI Lab menumpukan kepada usaha mempercepatkan penyatuan teknologi rantaian blok, Generative AI dan robotik di rantau ini.
Ia adalah hasil gabungan syarikat teknologi terkemuka dari China dan ASEAN bagi membangunkan aplikasi merentas sempadan serta menyesuaikan perkhidmatan AI mengikut budaya dan nilai tempatan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Royal Group, Irawan Mulyadi berkata, ASEAN China AI Lab akan menjadikan Indonesia sebagai jambatan antara ASEAN dan China dalam memajukan kecerdasan buatan.
“Melalui kerjasama terbuka, kami dapat mengumpulkan sumber, data dan teknologi untuk memperkukuh asas digital Indonesia.
“Matlamat kami adalah memastikan AI memberi manfaat luas kepada masyarakat dan membantu membina negara yang lebih bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Di makmal Indonesia, fokus akan diberikan untuk mencontohi dan menyesuaikan projek AI yang telah berjaya dilaksanakan di pasaran lain untuk memenuhi keperluan negara yang mempunyai penduduk lebih 285 juta.
Penubuhan ASEAN China AI Lab di Indonesia adalah susulan kejayaan projek perintis berskala global di Malaysia, termasuk pengenalan model bahasa besar (LLM) NurAI, yang pertama di dunia yang mematuhi prinsip Syariah. - DagangNews.com

standard


