Maxis eKelas HIPMaX StoryFest angkat cerita rakyat sebagai tema pertandingan tahun 2024

4 Jun 2024 • 2:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maxis eKelas HIPMaX StoryFest angkat cerita rakyat sebagai tema pertandingan tahun 2024

herman

04/06/2024 - 14:55

KUALA LUMPUR 4 Jun - Pertandingan bercerita bahasa Inggeris, Maxis eKelas HIPMaX StoryFest kembali dianjurkan buat tahun keenam yang terbuka kepada murid Tahun 4 sehinga pelajar Tingkatan 5 di negara ini.

Tema pertandingan HIPMaX StoryFest tahun ini ialah “Celebrating Malaysian Folklore”, yang membuka peluang kepada pelajar untuk melakonkan semula cerita rakyat Malaysia kegemaran mereka melalui seni bercerita dan produksi teater.

Menurut Maxis, para pelajar juga diberi kebebasan untuk meneroka cerita-cerita rakyat dan nilai-nilai tempatan dan kemudiannya menceritakan semula kisah tersebut dengan cara tersendiri.

Katanya, pertandingan ini menggalakkan pelajar untuk melatih kemahiran berkomunikasi dan menerap nilai-nilai murni melalui aktiviti-aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan.

"Kini dalam tahun keenamnya, pertandingan tahun ini dianjurkan oleh Maxis bersama English Language Teaching Centre (ELTC), pusat pengajian dan latihan Bahasa Inggeris di bawah Kementerian Pendidikan untuk memberi inspirasi kepada pelajar untuk meneroka warisan dan berkongsi cerita rakyat Malaysia dengan orang ramai," katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available
Bengkel pertama HIPMaX Story Fest bersama ELTC di SMK Saujana Indah, Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, Maxis percaya bahawa pendidikan adalah kunci untuk membawa perubahan yang positif dalam kehidupan.

"Di samping menawarkan akses kepada kandungan pembelajaran dalam talian yang selaras dengan silibus pembelajaran sekolah Malaysia, eKelas juga menjalankan aktiviti pembelajaran seperti HIPMaX StoryFest ini yang memberi peluang untuk pelajar menggunakan bahasa dan memupuk ekspresi diri dan menjadi sebahagian dari pengalaman keseluruhan eKelas,” katanya.

Dengan lebih daripada 100,000 pengguna berdaftar dan semakin meningkat, Maxis eKelas adalah sebuah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah yang disediakan secara percuma untuk semua pelajar-pelajar Malaysia.

Maxis akan menjalankan bengkel secara langsung di 50 buah sekolah di seluruh negara dengan kerjasama ELTC dan Jabatan Pendidikan Negeri yang berkenaan.

Bengkel pertama telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, Pulau Pinang yang disertai 130 orang pelajar.

Maxis juga bakal menjalankan lapan bengkel dalam talian melalui portal pembelajaran eKelas untuk memberi sokongan kepada pelajar dalam persediaan mereka dan membantu mempertingkatkan kandungan penyertaan mereka.

Bengkel tersebut akan merangkumi topik-topik untuk meningkatkan kemahiran pelajar dengan teknik untuk memahami cerita rakyat, menulis skrip menarik, berlakon dengan berkeyakinan, dan mengarah produksi teater.

Bagi memacu keterangkuman, penyertaan pertandingan pada tahun ini dibuka untuk semua pelajar sekolah Malaysia dari Tahun 4 sehingga Tingkatan 5.

Pelajar berpeluang untuk memilih kategori seni bercerita secara individu atau kategori teater berkumpulan seramai empat atau lima ahli sekumpulan.

Semua peserta akan menerima markah kokurikulum atau kredit Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), manakala pemenang berpeluang untuk menerima hadiah menarik.

Pertandingan HIPMaX StoryFest ini dibuka sehingga 31 Julai 2024. Untuk maklumat lanjut dan langkah-langkah untuk menyertai pertandingan ini, sila layari ekelas.com.my/HIP2024. - DagangNews.com