hamden26/10/2026 - 09:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Pengambilalihan aset perniagaan jalur lebar Astro Fibre oleh Maxis Berhad dijangka meningkatkan pangkalan pelanggan gentian optiknya sebanyak kira-kira 25% kepada 907,000 pelanggan, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat telekomunikasi itu dalam segmen jalur lebar tetap.
Penganalisis berkata, urus niaga bernilai tunai sehingga RM83 juta itu merangkumi kira-kira 178,631 pelanggan gentian optik Astro Fibre dan dijangka selesai menjelang suku pertama 2027 (1Q27), tertakluk kepada pemenuhan syarat berkaitan.
BIMB Securities berkata, pengambilalihan itu dilihat positif kerana membolehkan Maxis meningkatkan jumlah pelanggan jalur lebar tetap dengan segera, ketika pangkalan pelanggan gentian optik kediamannya tidak banyak berubah pada sekitar 720,000 sejak akhir 2024.
Berdasarkan anggaran purata hasil setiap pengguna (ARPU) sekitar RM110 sebulan, pangkalan pelanggan yang lebih besar itu berpotensi menyumbang kira-kira RM230 juta atau peningkatan 3% kepada hasil perkhidmatan tahunan selepas integrasi penuh.
"Sehubungan itu, kami menaikkan anggaran pendapatan Maxis sebanyak 3% bermula tahun kewangan 2027 (FY27F) dan seterusnya bagi mengambil kira sumbangan daripada pengambilalihan berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun firma itu menambah, nilai pembelian itu tidak ditetapkan pada RM83 juta kerana tertakluk kepada pelarasan menurun berdasarkan jumlah pelanggan Astro Fibre yang berjaya dipindahkan kepada Maxis dan dikekalkan selepas penyempurnaan urus niaga.
Dalam perkembangan berkaitan, BIMB Securities menaik taraf saranan terhadap Maxis kepada 'Pegang' daripada 'Jual', dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM3.40, yang menunjukkan risiko penurunan sebanyak 3.8%.
Penilaian itu berdasarkan model aliran tunai terdiskaun (DCF), dengan kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 8.0% dan kadar pertumbuhan jangka panjang 1.0%.
Firma itu menmbah, walaupun ketidaktentuan berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB) masih berterusan, sebahagian besar risiko terhadap pendapatan dan penilaian yang berkaitan dengannya dipercayai telah pun diambil kira dalam harga saham Maxis.
Justeru, penilaian saham syarikat itu ketika ini dilihat wajar, dengan risiko penurunan yang terhad serta pemangkin kenaikan yang juga terhad dalam tempoh terdekat, sekali gus menawarkan prospek pulangan berbanding risiko yang lebih seimbang.
Sementara itu RHB Research berkata, melihat transaksi itu secara positif memandangkan persaingan sengit dalam pasaran jalur lebar tetap.
Bagaimanapun Maxis katanya, berkemungkinan berdepan risiko kehilangan pelanggan Astro Fibre, khususnya mereka yang menghampiri penghujung tempoh kontrak masing-masing.
RHB Research turut menjangkakan potensi sinergi dari segi perbelanjaan operasi, khususnya berkaitan rangkaian, pemasaran dan pengedaran.
Pada masa sama, aturan berasingan akan disediakan bagi membolehkan pelanggan terus menikmati pakej kandungan Astro.
RHB Research mengekalkan saranan NEUTRAL dengan harga sasaran RM3.80. Saham Maxis didagangkan pada 1.8 sisihan piawai (SD) di bawah purata sejarah nisbah nilai perusahaan kepada EBITDA (EV/EBITDA).
"Kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran buat masa ini sementara menunggu penyempurnaan urus niaga pada suku kedua 2027 (2Q27)," katanya. - DagangNews.com


