johardy23/10/2026 - 18:56 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - Astro Malaysia Holdings Berhad bersetuju menjual aset perniagaan internet jalur lebar Astro Fibre kepada anak syarikat Maxis Bhd pada harga maksimum RM83 juta secara tunai bagi menumpukan sumber kepada perniagaan teras kandungan, hiburan dan pengiklanan.
Cadangan pelupusan itu dijangka menghasilkan anggaran keuntungan bersih pro forma RM31.4 juta berdasarkan harga jualan maksimum, selepas ditolak perbelanjaan urus niaga dan pelarasan cukai.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, urus niaga itu dijangka selesai menjelang suku kedua 2027.
Anak syarikat milik penuh Astro, MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd, menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Maxis Broadband Sdn Bhd pada 23 Oktober 2026. Penjualan itu meliputi pangkalan pelanggan berserta kontrak berkaitan, peralatan, perisian dan inventori.
Perniagaan jalur lebar yang dilancarkan pada 2022 itu mempunyai 178,631 pelanggan setakat 28 Februari 2026. Pemindahan pelanggan tertakluk kepada persetujuan mereka, manakala nama, jenama dan muhibah perniagaan tidak termasuk dalam urus niaga tersebut.
Astro berkata, pasaran jalur lebar runcit sangat kompetitif dan memerlukan pelaburan berterusan dalam infrastruktur, usaha mendapatkan serta mengekalkan pelanggan dan perkhidmatan pelanggan.
Pelupusan itu membolehkan kumpulan mengurangkan pendedahan kepada risiko operasi dan komersial serta menumpukan modal dan sumber pengurusan kepada perniagaan terasnya.
Berdasarkan harga jualan maksimum, Astro merancang memperuntukkan RM81.35 juta untuk modal kerja, termasuk membiayai operasi dan perbelanjaan modal bagi penyelenggaraan, manakala RM1.65 juta digunakan untuk menampung perbelanjaan urus niaga. Peruntukan modal kerja itu akan berkurang sekiranya harga jualan diselaraskan ke bawah.
Harga jualan bergantung pada jumlah pelanggan
Harga penuh RM83 juta akan dibayar sekiranya jumlah pelanggan yang akan dipindahkan pada tarikh penyempurnaan urus niaga mencapai sekurang-kurangnya 155,000. Harga itu berkurang kepada RM82 juta bagi 150,000 hingga 154,999 pelanggan dan RM80 juta bagi 145,000 hingga 149,999 pelanggan.
Jika jumlahnya kurang daripada 145,000 pelanggan, harga RM80 juta itu akan dikurangkan lagi sebanyak RM500 bagi setiap pelanggan yang kurang daripada ambang tersebut. Menurut Astro, pelarasan itu tidak mempunyai had pengurangan dan boleh menyebabkan harga jualan berada di bawah julat penilaian bebas RM82 juta hingga RM87 juta.
Maxis Broadband akan membayar 90% daripada harga jualan pada tarikh penyempurnaan urus niaga, yang perlu berlangsung dalam tempoh 90 hari selepas perjanjian menjadi tanpa syarat. Baki 10% perlu dibayar dalam tempoh tiga hari bekerja selepas kedua-dua pihak mengesahkan secara bertulis bahawa pemindahan pelanggan selesai, dengan pengesahan tersebut perlu dibuat dalam tempoh 90 hari selepas penyempurnaan urus niaga.
Perjanjian sokongan berasingan dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM1.4 juta sebulan, tertakluk kepada terma muktamad. Perkhidmatan pengebilan, pentadbiran kutipan bayaran dan sokongan operasi akan disediakan sepanjang tempoh pemindahan pelanggan, manakala lesen penggunaan ruang untuk peralatan ditetapkan bagi tempoh 12 bulan, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak. Bayaran berkenaan tidak termasuk dalam harga jualan aset.
Pelupusan itu merupakan urus niaga pihak berkaitan berikutan kepentingan pemegang saham utama yang sama serta kepentingan pengarah. Public Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat bebas, manakala pengarah dan pemegang saham utama yang berkepentingan akan berkecuali daripada mengundi cadangan tersebut.
Urus niaga itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Astro serta penerimaan pemberitahuan bertulis daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bahawa urus niaga berkenaan tidak mencapai ambang berkaitan dan tidak akan dinilai oleh suruhanjaya itu.
Penyempurnaannya turut bergantung pada pemenuhan kewajipan kontrak, termasuk pemindahan perjanjian akses dengan Telekom Malaysia melainkan Maxis Broadband mengetepikan keperluan tersebut. - DagangNews.com





