Mayat reput dalam tilam: Mangsa dipercayai rakan suspek

31 May 2026 • 10:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat reput dalam tilam: Mangsa dipercayai rakan suspek
Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Mayat reput yang ditemukan dalam balutan tilam dengan tangan diikat di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini Khamis lalu dipercayai merupakan rakan kepada suspek yang telah ditahan polis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan suspek, sekali gus memberikan perkembangan baharu dalam kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat salah faham dan tuduh-menuduh melibatkan keluarga suspek ketika kedua-duanya dipercayai sedang menghisap dadah.

“Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat disahkan sepenuhnya dan perlu melalui proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dengan ahli keluarga bagi pengesahan secara saintifik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 29 Mei hingga 4 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dzulkhairi turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden V Somsundram di talian 017-6954714.

Sebelum ini, media melaporkan mayat dipercayai mangsa bunuh yang telah meninggal dunia lebih dua minggu ditemukan dalam balutan tilam dengan tangan diikat di ruang tamu rumah kedai berkenaan.

Kejadian itu disedari pemilik rumah selepas datang membuat pemeriksaan di unit tersebut apabila gagal menghubungi penyewa sejak beberapa hari lalu. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.