
PENAMPANG: Polis sedang menyiasat penemuan mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di Kampung Goliga Kolopis di sini, kira-kira 11.52 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai penemuan mayat bayi itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bayi perempuan berkenaan, yang dipercayai dilahirkan tidak cukup bulan, ditemukan berhampiran rumah pengadu.
“Pasukan Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta Unit K-9 turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Menurutnya, polis sedang berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab serta menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau membuat laporan di balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan di media sosial kerana boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.





