DUNGUN - Mayat bayi lelaki ditemukan di dalam lokar asrama di sebuah institusi pendidikan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat bayi itu pada 10.48 malam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai meninggal dunia sejurus dilahirkan seorang pelajar berusia 19 tahun di tandas asrama institusi pendidikan itu pada Rabu lepas.
"Siasatan juga mendapati pelajar berkenaan membungkus mayat bayinya dengan kain selepas melahirkan dan memasukkannya ke dalam sebuah beg sebelum menyembunyikannya dalam lokar asrama.
"Pelajar berkenaan melahirkan bayi itu pada usia kandungan lapan bulan. Tindakannya menyimpan mayat bayi berkenaan terbongkar selepas meminta bantuan pengurusan sebuah masjid untuk menguruskan pengebumian bayi itu semalam,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Nik Ab Halim berkata, pelajar perempuan berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital di negeri itu dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan berdasarkan keterangan daripada beberapa saksi.
Beliau berkata, polis juga sedang mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan.
Mayat bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.- Bernama






