Mayat bayi hampir reput ditemui di kawasan pencawang

27 Mar 2026 • 11:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi penemuan mayat bayi lelaki cukup sifat di kawasan pencawang Telekom berhampiran Masjid Rembang Panas.

KUALA PILAH - Mayat bayi lelaki cukup sifat ditemukan di kawasan pencawang berhampiran Majid Rembang Panas di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Shamrol Shah Ramli berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 6.30 petang.

"Seorang lelaki tempatan telah menghubungi polis memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi tersebut dan satu laporan polis telah dibuat pada jam 6.54 petang untuk tindakan lanjut

"Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bersama Bahagian Forensik D10 Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat mayat seorang bayi lelaki yang masih cukup sifat dan bertali pusat.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati, bayi berkenaan telah dua hari meninggal dunia dan telah mula mengalami proses pereputan.

"Pemeriksaan fizikal tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran, namun punca kematian masih dalam siasatan.

"Identiti bayi juga masih belum dikenal pasti dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan," katanya.

Shamrol berkata, mayat bayi itu akan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Tambahnya, polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan sebarang rekod rawatan berkaitan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-9933978,"katanya.