Mayat Bayi Lelaki Ditemui Di Pencawang Telekomunikasi

27 Mar 2026 • 7:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR  - Polis membuka kertas siasatan susulan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat berhampiran sebuah pencawang telekomunikasi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Shamrol Shah Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 6.30 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah bersama unit forensik Negeri Sembilan kemudian bergegas ke lokasi berhampiran Masjid Rembang Panas untuk menjalankan siasatan awal.

“Hasil pemeriksaan mendapati mayat bayi lelaki itu berada dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat. 

“Anggaran awal menunjukkan bayi itu telah meninggal dunia kira-kira dua hari sebelum ditemui dan telah mula mengalami pereputan.

“Tiada kesan kecederaan luaran ditemui setakat ini dan identiti bayi berkenaan belum dikenal pasti manakala punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Kuala Pilah atau pegawai penyiasat bagi membantu siasatan. - Getaran, 27 Mac 2026