Mayat bayi lelaki cukup sifat, bertali pusat ditemukan di kawasan pencawang

27 Mar 2026 • 1:16 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SEREMBAN, 27 MAC: Mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemukan di kawasan pencawang menara telekomunikasi berhampiran Masjid Rembang Panas, Kuala Pilah dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Shamrol Shah Ramli berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 6.30 petang sebelum sepasukan anggota polis ke lokasi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tubuh bayi tersebut mula mengalami proses pereputan dan dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira dua hari lalu.

"Pemeriksaan fizikal terhadap mangsa tidak menjumpai sebarang kesan kecederaan luaran dan identiti bayi tersebut masih belum dikenal pasti. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Shamrol Shah berkata siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mendapatkan rekod rawatan berkaitan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau Pegawai Penyiasat Insp Supiah Ishak di talian 019-9933978 bagi membantu siasatan.

- BERNAMA