
SIPITANG: Dua lelaki ditahan kerana disyaki menyembunyikan mayat rakan mereka di kawasan semak, selepas mangsa dipercayai maut akibat tertembak ketika aktiviti memburu.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Supt Awang Anak Suanda, berkata mangsa, Andrew Udan, berusia lingkungan 50-an, ditemukan dalam keadaan mula mereput di kawasan hutan Kampung Takula, dekat sini, selepas dipercayai meninggal dunia pada 3 Julai lalu.
Beliau berkata, polis pada mulanya menerima laporan orang hilang pada 8 Julai selepas mangsa gagal pulang ke rumah.
“Siasatan awal mendapati mangsa keluar bersama dua rakannya pada 3 Julai. Pada mulanya mereka memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka keluar memancing sebelum dua rakannya pulang tanpa mangsa.
“Kehilangan mangsa mendorong ahli keluarganya membuat laporan polis, sekali gus membawa kepada siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pada Jumaat lalu, polis menahan kedua-dua rakan mangsa yang masing-masing berusia lingkungan 50-an sebelum mereka membawa pasukan polis ke lokasi mayat disembunyikan di kawasan semak.
“Mayat ditemukan dalam keadaan mula mereput. Siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak menyembunyikan mayat kerana panik dan takut selepas mangsa meninggal dunia akibat tertembak,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas dua laras senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada suspek bagi membantu siasatan.
Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang, Desmond Ak Micky @ Dominic, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas menerima maklumat daripada polis berhubung kehilangan mangsa.
Katanya, mangsa dilaporkan keluar dari rumah pada 3 Julai bersama rakannya dan memaklumkan kepada keluarga bahawa dia dijangka pulang pada 5 Julai.
“Bagaimanapun, mangsa tidak pulang seperti dijanjikan menyebabkan anaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang pada 8 Julai.
“Pasukan operasi kemudian menjalankan SAR di kawasan Sungai Takula berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ahli keluarga,” katanya.
Seorang penduduk, Jeniffer Opai, berkata jenazah mangsa telah dikebumikan pada Ahad lalu sejurus selesai proses bedah siasat.






