SUBANG JAYA - Kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah di sini pada Isnin, ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui pada jam 10.59 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan anggota BBP Subang Jaya.
Menurutnya, mayat itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba pada jam 12 tengah hari untuk proses pengecaman oleh ibu bapa mangsa dan disahkan adalah anak mereka.
"Mayat kanak-kanak terbabit telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Serdang.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
**media[3611743]**
Terdahulu, beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis.
Katanya, operasi itu menggunakan tiga bot JBPM dengan kaedah pencarian di permukaan air bagi mengesan mangsa membabitkan sembilan anggota, selain aset termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua bot dan sebuah pikap.
**media[3611732]**
Menurutnya, antara cabaran dihadapi pasukan SAR ialah keadaan arus sungai yang deras dan kemungkinan hujan di kawasan hulu, yang boleh menyebabkan arus bertambah laju.
Selain itu, terdapat beberapa kawasan yang mempunyai jeram semula jadi, menyebabkan bot tidak dapat melalui laluan berkenaan dan terpaksa dipindahkan menggunakan treler.
Semalam, media melaporkan JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.06 malam sebelum operasi SAR diaktifkan bagi mencari mangsa di sekitar lokasi kejadian.
Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6.30 petang ketika bermain bersama rakan-rakannya..






