
SEBERANG PERAI – Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan dibaluti dengan kain putih di dalam longkang, belakang sebuah kedai makan di Pasar Awam Sama Gagah, Permatang Pauh di sini, pagi tadi.
Mangsa yang berbadan kurus dan dipercayai berusia lingkungan 50-an itu ditemukan orang awam, kira-kira pukul 7 pagi.
Seorang pemilik premis berhampiran yang mahu dikenali sebagai Mie berkata, dia menyedari kejadian itu ketika mahu memulakan operasi perniagaannya, kira-kira pukul 8 pagi.
“Suasana di kawasan pasar bertukar kecoh apabila orang ramai berkerumun untuk melihat mayat yang disumbat ke dalam longkang kecil itu.
“Lokasi mayat itu betul-betul di belakang dekat kedai menjual apam balik dan tembakau. Kalau tengok saiz longkang itu, memang tak masuk akal (tindakan suspek) sebab terlalu kecil,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, polis sudah berada di lokasi kejadian dan mula mengawal kawasan berkenaan bagi menjalankan siasatan. -KOSMO! ONLINE
The post Mayat lelaki dibalut kain putih, disumbat dalam longkang appeared first on Kosmo Online.




