Mayat lelaki ditemui terlangkup dalam longkang

6 Mar 2026 • 8:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi kejadian mayat ditemukan dalam longkang di Jalan Pintas, Pekan Tenom pada Jumaat.

TENOM - Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terlangkup di dalam longkang di Jalan Pintas, Pekan Tenom di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Marais Morris, 61, ditemukan oleh orang awam sebelum laporan dibuat di Balai Polis Tenom.

Ketua Polis Daerah Tenom, Azmir Abd Razak berkata, pengadu pada awalnya dimaklumkan oleh rakannya yang ternampak objek mencurigakan di dalam longkang berkenaan sebelum menyedari ia adalah mayat seorang lelaki.

"Hasil siasatan, mangsa dipercayai telah terjatuh dari jambatan berhampiran kawasan kedai.

"Siasatan masih diteruskan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial memaparkan orang ramai mengerumuni kawasan longkang terbabit selepas dimaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai meninggal dunia di lokasi berkenaan.