
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Mayat lelaki tempatan berusia 73 tahun ditemukan terapung di sebuah lombong di Taman Tasik Rekreasi Tun Perak, Taman Jati, Rawang pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ibrahim Husin berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa yang tidak bekerja itu pada 7.45 pagi.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur kecederaan luaran pada tubuh mangsa. Mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ketua Polis Balai Rawang Inspektor Zharif Zakaria menerusi talian 03-60916222 atau Bilik Gerakan IPD Gombak 03-61262222.
— BERNAMA
The post Mayat Lelaki Warga Emas Ditemukan Terapung Di Tasik Rekreasi Tun Perak appeared first on The Malaysian Update.






