Mayat pemancing diikat pada tong ditemui di Bagan Datuk

16 Sep 2026 • 2:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mayat pemancing diikat pada tong ditemui di Bagan Datuk

KLANG – Mayat seorang lelaki dipercayai salah seorang daripada tiga pemancing yang masih hilang di perairan One Fathom Bank ditemukan nelayan di perairan Perak, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohd. Rahimi Zainol berkata, mayat tersebut ditemui sekumpulan nelayan pada jarak 11 batu nautika di Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Mayat ditemukan dalam keadaan memakai jaket keselamatan dan diikat pada sebuah tong. Keadaan fizikal mayat masih baik,” katanya ketika ditemui di Pos Pusat Pangkalan Hadapan, Jeti Sementa, di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kini dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga dan mangsa yang terselamat.

“Manakala empat mangsa yang selamat kini dalam keadaan stabil dan dirawat di HTAR dan Hospital Banting,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Maritim Selangor, Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali berkata, tumpuan pencarian kini diperluaskan ke kawasan perairan sempadan Selangor dan Perak susulan penemuan mayat berkenaan.

“One Fathom Bank adalah kawasan perairan yang dekat dengan sempadan Malaysia dan Indonesia. Ada sebuah rumah api di situ. Kawasan tersebut biasanya, pemancing datang ke situ untuk memancing. Jadi, kita turut buat pencarian di One Fathom Bank dan kawasan perairan dekat dengan sempadan Indonesia,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan empat pemancing berjaya ditemukan dalam keadaan selamat oleh bot nelayan tempatan di perairan Sekinchan, kira-kira pukul 9.50 pagi. – KOSMO! ONLINE

The post Mayat pemancing diikat pada tong ditemui di Bagan Datuk appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved