
KLANG – Baju-T lengan panjang berwarna gelap yang biasa dipakai ketika memancing menjadi petunjuk buat seorang isteri mengenali mayat suaminya, Mohd. Shahril Abd. Rahman dalam proses pengecaman dijalankan di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa, Kapar, di sini, hari ini.
Adik ipar mangsa, Shahdan Samsuri, 41, berkata, kakaknya turut mengenali bentuk telinga Allahyarham yang sedikit runcing selain saiz dan bentuk tubuhnya.
“Arwah memang sentiasa memakai baju berwarna gelap setiap kali keluar memancing. Kakak kenal bentuk telinga suaminya yang sedikit runcing serta saiz dan bentuk badannya,” katanya ketika ditemui di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa, di sini, petang ini.
Mayat Mohd. Shahril, 43, dijumpai sekumpulan nelayan di perairan Hutan Melintang, Perak kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk proses bedah siasat.
Menurut Shahdan, ahli keluarga akan melakukan pengecaman sekali lagi sebaik sahaja mayat Mohd. Shahril tiba di HSA.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mayat lelaki yang ditemui diikat pada tong dan memakai jaket keselamatan di perairan Perak disahkan merupakan Mohd. Shahril. – KOSMO! ONLINE
The post Bot karam: Isteri cam baju, telinga Mohd. Shahril appeared first on Kosmo Online.





