Mayat petugas Sabah Electricity ditemui

19 Sep 2025 • 3:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KENINGAU: Seorang petugas Sabah Electricity (SE) yang sebelum ini dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan Apin-Apin pada malam Selasa lepas, ditemui pada jam 6.18 petang Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, mayat Masedeh Rosmin, 35, ditemui oleh Team Galen Star di kawasan Sungai Kampung Liau Laut, Keningau.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga hari ini, bermula pada jam 9 pagi Khamis, dengan pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain melaksanakan pencarian sehingga radius 40 kilometer di Sungai Pagalan.

“Fokus pencarian hari ini ditumpukan di sekitar Kampung Linsudan berikutan penemuan kasut mangsa di sungai kampung berkenaan, iaitu kira-kira 21 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Beliau berkata unit dron turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian.

Mayat mangsa diangkat oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semasa kejadian, mangsa bersama dua rakan setugas, namun kedua-dua rakannya sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Sabah Electricity menyatakan rasa dukacita dengan kehilangan berkenaan serta merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

Pihak syarikat turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam misi SAR, khususnya Team Galen Star, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta warga kerja Sabah Electricity yang turut membantu sepanjang operasi.