Mayat wanita dalam beg: Mangsa dibunuh lebih sehari, identiti masih misteri

16 Aug 2026 • 2:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mayat wanita dalam beg: Mangsa dibunuh lebih sehari, identiti masih misteri
Misteri penemuan mayat wanita dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak, Jumaat lalu belum terungkai apabila identiti mangsa gagal dikenal pasti setakat ini. Foto Bernama
Image from: Mayat wanita dalam beg: Mangsa dibunuh lebih sehari, identiti masih misteri
Siasatan awal mendapati mangsa dianggarkan berusia lingkungan 30-an dan meninggal dunia akibat dibunuh. Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Misteri penemuan mayat wanita dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak, Jumaat lalu belum terungkai apabila identiti mangsa gagal dikenal pasti setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, siasatan yang dijalankan belum menemui sebarang petunjuk baharu yang boleh membantu mengenal pasti mangsa atau mengesan suspek terlibat.

“Belum ada apa-apa petunjuk baharu, namun siasatan masih diteruskan. Cap jari mangsa telahpun dihantar untuk semakan,” katanya ringkas ketika dihubungi pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dalam beg pakaian disahkan wanita, mati dibunuh - Polis

Beg pakaian berisi mayat terapung di Sungai Perak

Beliau turut memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan orang hilang yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat, wanita terbabit berkemungkinan telah meninggal dunia lebih daripada satu hari.

"Tiada laporan orang hilang yang berkaitan diterima setakat ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan satu mayat wanita disyaki mati sejak beberapa hari ditemui terapung dalam sebuah beg pakaian yang dibalut pembungkus plastik.

Keadaan mayat berkenaan disedari seorang pemandu bot tambang berhampiran Jeti Lembah Kuala Kangsar susulan keadaan air sungai yang cetek.

Siasatan awal mendapati mangsa dianggarkan berusia lingkungan 30-an dan meninggal dunia akibat dibunuh.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved