Mayat wanita dilapor hilang ditemui dalam kolam

16 Jun 2026 • 4:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Mayat wanita dilapor hilang ditemui dalam kolam

TAWAU: Usaha menjejak keberadaan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan di dalam sebuah kolam berhampiran Sin On, Jalan Tiku, di sini, pada Isnin.

Shila, berusia 30-an, yang dilaporkan menghidap autisme dan beralamat di Logpond, Tanjung Batu Laut, terdahulu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas kali terakhir dilihat di sekitar kawasan Sin On.

Perkongsian maklumat berkaitan kehilangan mangsa itu tular di pelbagai platform media sosial selepas kehilangannya mendapat perhatian ramai pihak yang turut bersimpati. Malah ada yang secara sukarela menawarkan diri untuk turut terlibat mencari wanita itu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin semasa dihubungi Daily Express mengesahkan penemuan yang dilakukan dan memaklumkan bahawa identiti mangsa disahkan sendiri oleh ahli keluarga wanita terbabit di Hospital Tawau.

“Sebaik menerima maklumat awal berkaitan penemuan mayat di Sin On, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tawau serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.

“Polis menemui mayat wanita itu di dalam kolam di sebuah kawasan kebun kelapa sawit,” katanya, Isnin.

Jasmin berkata hasil siasatan awal mendapati tidak ada sebarang petunjuk kecederaan luaran baharu pada tubuh mangsa malah tidak ada sebarang elemen jenayah yang dikesan berlaku.

“Berikutan itu, buat sementara waktu juga kes ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa masih diteruskan,” katanya.

Pihak polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi liar dan tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau jika mempunyai maklumat atau menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.