
Mayat Wanita Ditemukan Dengan Kesan Tetakan Di Ladang Kelapa Sawit
Mayat wanita ditemukan dengan kesan tetakan pada anggota badan di kawasan belukar ladang kelapa sawit dekat Kampung Ulu Bambangan di Sabah pada Isnin, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata suami mangsa menemukan mayat isterinya, warga Filipina kira-kira 11.30 pagi dalam keadaan tangan hampir putus, luka di bahagian dahi kanan dan kesan kelar pada leher.
Ismail berkata selepas pihaknya melakukan siasatan, mangsa dipercayai hilang semasa menuju ke tempat kerjanya di ladang sawit.
“Mayat mangsa ditemui oleh suaminya sendiri selepas seluar hitam milik mangsa ditemui di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.
“Ahli keluarga berusaha mencari mangsa di sekitar penemuan seluar mangsa dan akhirnya berjaya menemui mayat mangsa di belukar berhampiran dengan kesan kecederaan tetakan di beberapa bahagian badan,” katanya pada Selasa.
Ekoran itu, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah segera melakukan pemeriksaan dan siasatan segera di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati tapak tangan sebelah kanan mangsa hampir putus, terdapat kesan luka bahagian dahi sebelah kanan dan kesan kelar di bahagian leher yang dipercayai kesan kecederaan akibat ditetak dengan senjata tajam.
“Hasil siasatan juga berjaya membuat tangkapan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40-an bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga telah menangkap empat suspek dan siasatan masih diteruskan.
“Empat suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan dengan bantuan Unit Siasatan Khas D9, Unit Anjing Pengesan K9 dan Unit Forensik JSJ IPK Sabah,” ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
The post Mayat Wanita Ditemukan Dengan Kesan Tetakan Di Ladang Kelapa Sawit appeared first on Siakap Keli.
