Maybank miliki sepenuhnya Etiqa selepas ambil alih baki 30.95% Ageas

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 2:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Maybank miliki sepenuhnya Etiqa selepas ambil alih baki 30.95% Ageas Image from: Maybank miliki sepenuhnya Etiqa selepas ambil alih baki 30.95% Ageas liza11/09/2026 - 14:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – Malayan Banking Berhad (Maybank) melengkapkan cadangan pengambilalihan baki 30.95% kepentingan dalam Maybank Ageas Holdings Berhad (MAHB) dan menjadikan syarikat berkenaan sebagai anak syarikat milik penuh kumpulan perbankan itu.

 

Maybank berkata, pengambilalihan tersebut disempurnakan selepas pihaknya menandatangani perjanjian pembelian saham (SPA) dengan Ageas Insurance International NV (Ageas) pada 8 September 2026.

 

Cadangan pengambilalihan itu turut mendapat kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia pada 1 September 2026 yang membolehkan proses pengambilalihan baki kepentingan tersebut diselesaikan.

 

MAHB merupakan syarikat pegangan bagi perniagaan Etiqa di Malaysia dan Singapura yang menawarkan rangkaian produk insurans hayat dan am konvensional serta takaful keluarga dan am menerusi pelbagai saluran pengedaran.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata langkah itu menjadi mercu tanda penting dalam usaha kumpulan memperkukuh aspirasi Etiqa untuk menjadi peneraju insurans dan takaful nasional.

 

Kukuhkan Kedudukan Etiqa Di Asia Tenggara

Menurut beliau, pemilikan penuh MAHB akan membantu Maybank memperkukuh kedudukan Etiqa sebagai peneraju insurans dan takaful, selain memperluas capaian kepada pangkalan pelanggan Maybank yang besar.

 

Tambahnya, langkah itu juga selaras dengan aspirasi kumpulan untuk mengembangkan kedudukan Etiqa di Asia Tenggara serta membangunkan organisasi takaful bertaraf global menerusi strategi ROAR30.

 

“Maybank akan memberi tumpuan kepada usaha memacu nilai kepada pelanggan di seluruh Asia Tenggara melalui tawaran kekayaan serantau, strategi jualan silang serta penyelesaian kewangan yang lebih bersepadu dan diperibadikan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maybank terima kelulusan BNM ambil alih baki pegangan Etiqa RM4.83 bilion

 

“Pemilikan penuh MAHB turut membolehkan Maybank meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang yang mampan melalui pengurusan modal yang lebih berkesan dalam kumpulan MAHB.

 

“Pada masa sama, langkah tersebut dijangka meningkatkan keupayaan kumpulan untuk mengurus modal dengan lebih cekap di peringkat Maybank secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Peluang Pertumbuhan Insurans Dan Takaful

Maybank berkata MAHB dijangka terus berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor insurans dan takaful.

 

Kedudukan itu disokong oleh pangkalan pelanggan yang besar, rangkaian pengedaran Maybank yang menyeluruh serta permintaan pasaran yang semakin meningkat terhadap penyelesaian perlindungan yang bersepadu dan diperibadikan.

 

Khairussaleh berkata, Maybank turut merakamkan penghargaan kepada Ageas atas kerjasama selama 25 tahun bersama kumpulan serta sumbangan syarikat itu dalam membangunkan francais Etiqa.

 

Dengan pemilikan penuh tersebut, Maybank dan MAHB kini mempunyai keupayaan lebih tinggi untuk memacu inovasi produk, memperluas penembusan jualan insurans melalui bank serta memperkukuh tawaran takaful.

 

Dalam masa sama, pemilikan penuh MAHB dijangka membantu kumpulan meningkatkan kecekapan modal dan operasi di seluruh Kumpulan Maybank, manakala jenama Etiqa akan terus dikekalkan sebagai salah satu jenama utama Maybank. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved