Maybank rintis penubuhan Pejabat Keluarga Tunggal di Zon Kewangan Khas Forest City

05/05/2025 - 15:14
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 5 Mei — Maybank Berhad berjaya merintis penubuhan Pejabat Keluarga Tunggal pertama di bawah skim khas yang dikenali sebagai Pejabat Keluarga Tunggal Malaysia di Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ).
Maybank bekerjasama dengan ONE KL Management Sdn Bhd (ONE KL) bagi mewujudkan pejabat keluarga firma pelaburan, CMY Capital Sdn Bhd berpusat di Kuala Lumpur yang diasaskan oleh Tan Sri Chua Ma Yu.
Kumpulan perbankan tempatan itu berkata, kerjasama dengan ONE KL turut menekankan aspek kepimpinan Maybank dalam menyediakan rumusan rentas sempadan yang dapat disesuaikan kepada segmen pelanggan bernilai tinggi.
"Pejabat Keluarga ini dijangka menjana kekayaan mereka merentas generasi, dan menandakan komitmen kami menyokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan FCSFZ adalah tonggak utama," katanya dalam kenyataan.
Maybank menambah, zon tersebut sedang muncul sebagai destinasi pilihan utama untuk rumusan kekayaan serantau; selain ia menjimatkan kos, dikawal selia dengan baik dan berada di kedudukan yang cukup strategik.
Dengan perkembangan pesat JS-SEZ ketika ini, ia menjangkakan terdapat peningkatan aliran rentas sempadan, dan Maybank komited untuk menjadi rakan perbankan strategik kepada para pelanggan yang beroperasi di zon berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, bagi menyokong usaha itu, Maybank telah menubuhkan Meja JS-SEZ khusus menawarkan perkhidmatan perbankan yang menyeluruh.
"Pembentukan platform khas ini turut menawarkan aktiviti nilai tambah, serta menghubungkan pelanggan kami dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya.
Pejabat Keluarga telah mendapat tarikan yang ketara di Malaysia dan Singapura, didorong pertumbuhan pesat populasi individu ultra-bernilai tinggi di rantau ASEAN.
Menurut firma McKinsey & Company, kumpulan kekayaan mewah dan golongan individu menengah atas mewah di Asia pula dijangka mencecah AS$4.7 trilion (RM19.8 trilion) menjelang 2026, meningkat daripada AS$2.7 trilion (RM11.4 trilion) pada 2021.
Sementara itu, Ma Yu dalam kenyataan tersebut berkata, beliau amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maybank dalam penubuhan Pejabat Keluarga Tunggal di dalam FCSFZ.
"Kepakaran mendalam bank, rangkaian serantau, dan pemahaman mengenai keperluan unik kami memberikan keyakinan untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif perintis ini," katanya.
Komitmen kumpulan perbankan tersebut dalam menyokong aspek pertumbuhan jangka panjang zon berkenaan juga menjadikan mereka sebagai rakan strategik yang begitu kukuh.
Maybank memiliki rangkaian perbankan terluas di Johor dengan sebanyak 71 saluran maya utama, termasuk cawangan, Pusat Premier Maybank, Pusat Perkhidmatan Maybank dan Pusat Perbankan Komersial.
Sementara itu, di Singapura, Maybank mengendalikan sejumlah 23 cawangan dan Hab Premier, yang menjadikannya sebagai jejak terbesar dalam kalangan bank asing di negara jiran tersebut. - DagangNews.com
standard
