ISKANDAR PUTERI – Suasana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis, bertukar mendebarkan seketika apabila Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi memberi bayangan kononnya akan membuat 'pengumuman besar' berkaitan pembubaran DUN negeri itu.
Onn Hafiz kemudian berkata, desas-desus Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal berlangsung dalam masa terdekat semakin diperkatakan ramai sebelum membuat kejutan ketika sidang DUN di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sempat berseloroh dengan bertanya sama ada Menteri Besar itu 'sudah dapat mimpi' mengenai pembubaran DUN.
Onn Hafiz (BN- Machap) kemudianya memberitahu beberapa Exco kerajaan negeri meluahkan rasa sedih dan meminta maaf dalam ucapan penggulungan masing-masing pada Rabu, sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Situasi dewan yang pada awalnya tegang dan penuh tanda tanya akhirnya bertukar tenang apabila Onn Hafiz mengumumkan bahawa DUN Johor tidak dibubarkan hari ini.
“Terus buat kerja, bagi khidmat kepada rakyat dan Bangsa Johor, soal PRN tolak tepi dulu, banyak program dan inisiatif yang perlu kita laksanakan,” katanya yang disambut dengan gelak tawa wakil rakyat.
Sebelum ini, Onn Hafiz Ghazi menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan dibuat lebih awal, kerana pentadbiran kerajaan negeri itu hanya akan tamat pada April 2027.
Pada PRN Johor 2022, BN memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN negeri.






