ISKANDAR PUTERI - Sidang Dewan Undangan (DUN) Johor pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan mengenai lantikan lima Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lantikan.
Rang undang-undang berkenaan diluluskan dengan mendapat 40 undian daripada keseluruhan 56 ADUN Johor, selepas dibahaskan oleh seorang ADUN kerajaan negeri dan pengimbang.
Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan rang undang tersebut di mana jumlah 56 ADUN Johor ketika ini akan bertambah menjadi 61 ADUN pada masa akan datang.
“ADUN ini tidak dilantik melalui proses pilihan raya sebaliknya dilantik bagi melengkapkan komposisi sedia ada.
“Ahli yang dilantik hendaklah mendapat perkenan raja. ADUN lantikan ini sudah dilakukan di negeri Sabah, Terengganu dan Pahang,” katanya.
Usul kemudian dibahaskan Anuar Abdul Manap (BN- Pemanis) yang menegaskan ADUN Lantikan bukan sekadar menambah kerusi tetapi menambah nilai perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng (DAP- Stulang) bagaimanapun tidak bersetuju dengan usul yang dibawa secara tergesa-gesa tersebut.
"Kami juga berasa proses membawa usul ini boleh diperbaiki, di mana sebelum ini sepatutnya ada rundingan atau perbincangan dengan pihak pengimbang.
"Kami pihak pengimbang blok PH mengambil pendirian tidak setuju dengan usul yang dibawa secara tergesa-gesa ini," katanya.
Cadangan kerajaan negeri untuk melantik ADUN Lantikan sebelum ini mendapat kritikan pengimbang Johor terdiri daripada Pakatan Harapan, Perikatan National (PN) dan Muda.
Mereka mempersoalkan kriteria pelantikan serta peranan sebenar ADUN lantikan berkenaan selain melihat persempadanan semula kawasan DUN lebih sesuai memandangkan terdapat tujuh kawasan DUN Johor yang memiliki lebih 100,000 pengundi.
