
SEREMBAN – Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan beliau dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak pernah membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan itu susulan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan Ismail dan barisan Exco negeri berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai ‘biadab’ dan ‘tidak bertamadun’.
Anwar sebelum ini berkata institusi Raja-Raja Melayu perlu terus dipelihara dan dimartabatkan, selain menegaskan sebarang perbezaan pendapat atau pertelingkahan perlu dikemukakan melalui saluran yang betul.
Mengulas perkara itu, Ismail berkata, beliau menghormati keprihatinan Perdana Menteri terhadap institusi diraja, namun berpandangan teguran berkenaan mungkin dibuat berdasarkan gambaran yang tidak lengkap mengenai peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara tersebut.
Menurutnya, MMKN hanya membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat.
“Persetujuan MMKN terhadap tindakan pentadbiran susulan tidak bermaksud MMKN mengambil alih kuasa para Undang atau menjadi pihak yang membuat keputusan mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail turut menegaskan beliau bersama barisan Exco tidak akan mencampuri siasatan, pertimbangan adat atau proses pemilihan yang terletak dalam bidang kuasa pihak-pihak yang ditentukan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Segala persoalan mengenai kesahihan proklamasi, pematuhan tatacara dan kesan perlembagaannya hendaklah ditentukan menurut Undang-Undang Tubuh tersebut serta proses undang-undang yang berkenaan.
“Kami menghormati apa-apa perintah mahkamah yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MB, Exco tidak pernah buat keputusan turunkan Yang-Pertuan Besar NS appeared first on Kosmo Online.






