MB Johor Mohon PM Pertimbang Moratorium Untuk Mangsa Banjir

7 Mar 2023 • 7:28 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Onn Hafiz Ghazi ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Pintas Puding, Batu Pahat - Gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbang moratorium sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata ini bagi memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang kerugian harta benda dalam bencana itu.

"Besar harapan kerajaan negeri agar mangsa banjir boleh diberikan sedikit kelegaan dari segi moratorium dalam tempoh yang saya sebutkan.

"Bencana sebegini sudah tentu memberikan impak kewangan yang cukup besar kepada mereka. Ada yang kerosakan harta benda seperti kereta, perabot, alatan elektrik dan sebagainya," katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Onn Hafiz berkata ada juga mangsa yang mengalami kerugian hasil tanaman dan binatang ternakan.

Beliau berkata rakyat Johor terpaksa berdepan ujian bencana banjir yang amat mencabar bukan hanya sekali tetapi dua kali pada tahun ini sahaja. 

Kali pertama Johor dilanda banjir ialah dari 24 Januari hingga 10 Februari lepas yang melibatkan lapan daerah dengan lebih 5,000 penduduk terjejas.

Negeri itu sekali lagi dilanda banjir pada 1 Mac lepas dan setakat 8 malam tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 40,129 orang masih berada di pusat pemindahan sementara. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved