
SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri akan mengenal pasti jumlah penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat banjir serta tahap kerugian dialami sebelum menentukan bentuk bantuan bersesuaian.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan mengumpulkan data terlebih dahulu bagi memastikan bantuan yang dipertimbangkan dapat meringankan beban golongan berkenaan.
“Kita akan mendapatkan data terlebih dahulu bagi mengenal pasti jumlah peniaga yang terjejas dan tahap kerugian sebelum menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri bersedia membantu peniaga terjejas dengan menyasarkan pelaksanaan bantuan susulan pengumuman kerajaan Persekutuan yang akan dibuat minggu ini.

Bagaimanapun, keutamaan ketika ini diberikan kepada isi rumah terjejas, manakala bantuan kepada peniaga akan dipertimbangkan bagi meringankan beban serta komitmen bulanan mereka.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 November mengumumkan Bantuan Tunai Tambahan Khas sebanyak RM2,500 kepada setiap ketua isi rumah yang layak dan terjejas akibat banjir di Selangor.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor, selepas mengambil kira tempoh pemindahan berpanjangan serta kerosakan harta benda dialami penduduk.
Susulan itu, Amirudin mengumumkan sumbangan tambahan RM500 daripada Kerajaan Negeri, menjadikan keseluruhan bantuan khas banjir sebanyak RM3,000 kepada setiap ketua isi rumah yang layak.






