MB Negeri Sembilan buat pengumuman khas malam ini

LocalPolitics
4 Jun 2026 • 11:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MB Negeri Sembilan buat pengumuman khas malam ini
Media mula berkumpul di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dijadual bakal mengadakan pengumuman khas pada malam ini.

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai krisis pentadbiran di Negeri Sembilan semakin memuncak apabila Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dijadual mengadakan satu pengumuman khas pada jam 11 malam ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi panggilan segera kepada semua pengamal media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan pada Khamis.

Menurut jemputan berkenaan, pengumuman khas itu akan diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Panggilan segera semua media untuk satu pengumuman khas oleh Menteri Besar Negeri Sembilan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada jam 11 malam, 4 Jun 2026,” menurut jemputan tersebut.

Pengumuman yang dibuat pada saat akhir itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik, termasuk kemungkinan berkaitan kedudukan pentadbiran negeri serta desas-desus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklumat rasmi didedahkan berhubung perkara yang bakal diumumkan oleh Aminuddin.

Terdahulu, arena politik Negeri Sembilan menjadi perhatian susulan pelbagai khabar angin yang berlegar mengenai kedudukan kerajaan negeri serta kemungkinan berlaku perubahan dalam pentadbiran.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR mengetuai pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.

Setakat ini, semua pihak masih menunggu penjelasan rasmi daripada Menteri Besar berhubung tujuan sebenar pengumuman khas yang dijadualkan berlangsung malam ini.

View Original Article