
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Selain Mohd Shukri, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah juga turut digugurkan sebagai Pengerusi PN Pahang.
Memetik Berita Harian, jawatan pengerusi bagi kedua-kedua negeri itu kini disandang oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN Pahang), manakala Ahli Perlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN Perlis).
Pelantikan Pengerusi PN Negeri berkuat kuasa esok
Pelantikan itu berkuat kuasa esok, diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MPTN) yang bersidang malam ini (28 Oktober) dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan.
Pengerusi PN bagi negeri-negeri lain pula adalah seperti berikut:
- Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor)
- Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah)
- Datuk Ahmad Yakob (Kelantan)
- Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Melaka)
- Mohamed Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan)
- Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak)
- Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai (Pulau Pinang)
- Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Sabah)
- Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak)
- Mohamed Azmin (Selangor)
- Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu)
- Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (Wilayah Persekutuan)
Selain pelantikan Pengerusi PN negeri, Azmin berkata, mesyuarat malam ini turut membincangkan beberapa perkara penting termasuk berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
PN ambil bahagian aktif dalam PRN Sabah
Menurutnya, MTPN sebulat suara bersetuju PN akan mengambil bahagian aktif dalam PRN Sabah.
“Selain itu, PN juga sudah mengenal pasti kerusi-kerusi tumpuan dan akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat. Pelantikan Pengerusi PN negeri berkuat kuasa pada 28 Oktober 2025.
“PN bertekad untuk terus berusaha memperkukuhkan wadah perjuangan parti sebagai wahana yang inklusif, progresif dan prihatin rakyat,” katanya.
Mohd Shukri ucap tahniah kepada Shahidan
Dalam pada itu, Mohd Shukri menerusi satu hantaran di laman Facebook akaun rasminya turut mengucapkan tahniah kepada Shahidan atas pelantikan sebagai Pengerusi PN Perlis baharu.
Beliau turut memanjatkan harapan agar Shahidan dapat memimpin dan memperkukuhkan perpaduan serta kekuatan PN di negeri itu.
“Sekali gus memastikan pentadbiran PN terus kekal mentadbir Perlis dan membawa kejayaan dalam PRU ke-16 kelak,” ujarnya.
Source:

