MBDK perkukuh kesiapsiagaan banjir, beri tumpuan lapan kawasan berisiko

6 Nov 2026 • 12:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MBDK perkukuh kesiapsiagaan banjir, beri tumpuan lapan kawasan berisiko

KLANG, 6 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir di daerah ini dengan memberi tumpuan kepada lapan kawasan berisiko, khususnya menjelang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dari 7 hingga 11 November ini.

Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata, antara langkah diambil termasuk memperkukuh sistem saliran, memasang pintu kawalan aliran air (flap gate) serta meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko banjir.

"Semua jabatan berkaitan perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan memastikan setiap aduan yang diterima diberikan perhatian serta tindakan sewajarnya, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu.

"Penduduk yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai dan lokasi berisiko banjir juga dinasihatkan supaya membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan limpahan air," katanya.

Menurut beliau, Mesyuarat Penyelarasan Isu Banjir bersama EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim sebelum ini mengenal pasti lapan lokasi yang memerlukan perhatian khusus menerusi pelaksanaan langkah mitigasi.

Lokasi terbabit ialah Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Taman Meru Indah, Taman Seri Kerayong, Taman Daya Maju dan Jalan Haji Salleh, Pekan Meru.

Abd Hamid berkata, antara tindakan yang dikenal pasti termasuk menaik taraf sistem perparitan, membaiki paip pelepasan, menyelenggara kolam takungan serta memastikan pemaju mematuhi pelan saliran dan kawalan hakisan.

Dalam perkembangan berkaitan, Skuad Pantas MBDK menerima 83 aduan bencana sepanjang 4 hingga 5 November, dengan 62 kes selesai ditangani, 16 masih dalam tindakan manakala lima lagi membabitkan bantuan khas.

Aduan berkenaan melibatkan kejadian pokok tumbang, banjir kilat, bumbung diterbangkan angin, tiang tumbang dan tanah runtuh.

"Skuad Pantas bersama Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap dan Jabatan Perkhidmatan Persekitaran akan terus memperkukuh kesiapsiagaan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap sebarang kejadian bencana," ujarnya.

Sehubungan itu, Abd Hamid menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengikuti perkembangan cuaca dan makluman rasmi pihak berkuasa, selain menyimpan dokumen penting serta barangan berharga di tempat selamat.

"Penduduk juga dinasihatkan mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi, mengelakkan lokasi berisiko serta menyediakan keperluan kecemasan sekiranya berlaku banjir," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemilik kenderaan atau harta benda yang mengalami kerosakan akibat pokok tumbang di bawah seliaan MBDK boleh mengemukakan tuntutan ganti rugi kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan.

"Pemilik yang terjejas perlu membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan bersama dokumen berkaitan kepada MBDK untuk semakan dan penilaian mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang kejadian kecemasan melalui saluran rasmi bagi memastikan keselamatan penduduk terus terpelihara.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved