
SHAH ALAM, 6 NOV: Semua kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan serta-merta sementara pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dinilai semula susulan kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut.
Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sebagai langkah memastikan aspek keselamatan rakyat diberi keutamaan, khususnya di kawasan yang berdepan risiko banjir.
Tegas Dato’ Seri Amirudin Shari, pihaknya turut mengarahkan semua kerja mitigasi banjir sama ada berskala kecil atau besar, dipercepatkan terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Usaha berkenaan tidak boleh lagi dilaksanakan mengikut jadual konvensional memandangkan hujan dijangka berlaku hampir setiap hari.
"Setiap teguran yang dizahirkan rakyat terhadap agensi kerajaan mesti diterima secara terbuka dengan komitmen melipatgandakan usaha membantu mangsa banjir serta mengelakkan kejadian sama terus berulang," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Amirudin berkata kejadian banjir bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah menimbulkan keresahan kepada orang ramai yang berulang-alik ke tempat kerja, menghantar dan mengambil anak dari sekolah.
“Rakyat berhak menikmati kehidupan yang selamat tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan diri dan keluarga setiap kali hujan turun,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya juga akan menyegerakan dan menambah bantuan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain itu, jelasnya, usaha membaik pulih serta membersihkan rumah penduduk yang terjejas turut dipercepatkan menerusi kerjasama agensi Kerajaan Negeri dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI.
“Bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri akan disalurkan kepada mangsa yang berada di PPS bagi meringankan beban kewangan mereka sementara kerja pembaikan dilaksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata amaran awal akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan yang berisiko mengalami kenaikan paras air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan melaksanakan kerja pengalihan aliran air dengan kadar segera, manakala semua agensi diarahkan mempercepatkan penyelenggaraan sistem saliran, longkang dan sungai tanpa sebarang kelewatan.
“Perubahan iklim yang semakin mencabar memerlukan pendekatan mitigasi banjir lebih pantas dan sepadan dengan keadaan semasa bagi mengelakkan sebarang kemudaratan kepada rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian runtuhan tebing bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.





