Projek naik taraf saliran kurangkan kejadian banjir di Padang Jawa

6 Nov 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Projek naik taraf saliran kurangkan kejadian banjir di Padang Jawa

SHAH ALAM, 6 NOV: Masalah banjir di Kampung Padang Jawa semakin berkurangan susulan pelaksanaan beberapa projek penambahbaikan sistem saliran sejak 2024, dengan Jalan Mat Raji kini menjadi kawasan utama yang masih memerlukan perhatian.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata dua daripada tiga kawasan yang sebelum ini kerap dilanda banjir menunjukkan perubahan ketara iaitu sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa dan Jalan Kunci Air.

Menurutnya, masalah banjir di SK Padang Jawa berjaya dikurangkan selepas kerja pembersihan dan penambahbaikan dua saliran utama dilaksanakan bagi melancarkan aliran air terus ke sungai.

“Sebelum ini hujan lebat biasa menyebabkan air memasuki kawasan sekolah sehingga menjejaskan kebanyakan bilik darjah di tingkat bawah termasuk kantin.

Image from: Projek naik taraf saliran kurangkan kejadian banjir di Padang Jawa
ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid bercakap kepada media selepas melancarkan Modul Ibu Bapa Anak Istimewa dan Modul Panduan Intervensi sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam pada 30 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Di belakang sekolah terdapat dua saliran monsun milik pihak berbeza yang sebelum ini dipisahkan tembok, namun kita mengambil tindakan memecahkan tembok berkenaan bagi membolehkan kedua-dua saliran berkongsi aliran air terus ke sungai.

“Alhamdulillah, selepas tindakan itu dilaksanakan, masalah banjir di sekolah dan beberapa kawasan perumahan di belakangnya semakin berkurangan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, beliau berkata masalah banjir di Jalan Kunci Air turut berjaya dikurangkan selepas projek pembinaan kolam takungan dan pemasangan dua pam kitaran (cycle pump) disiapkan pada awal 2024.

Jelasnya, sistem berkenaan berfungsi mengepam air dari kolam takungan terus ke Sungai Klang apabila mencapai paras tertentu sekali gus membantu mengelakkan kolam berkenaan daripada mencapai kapasiti maksimum.

Bagaimanapun, katanya, Jalan Mat Raji masih memerlukan kerja naik taraf sistem perparitan kerana saliran sedia ada belum mencukupi, selain keadaan pembangunan kediaman yang rapat menyukarkan pengurusan aliran air.

“Buat masa ini, kita sedang meneliti keperluan menambah satu lagi saliran di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), selain membina saliran kecil di beberapa lorong supaya air dari kawasan perumahan dapat disalurkan terus ke saliran utama,” katanya.

Danial berkata, dua langkah tambahan turut dirancang tahun depan, termasuk pembinaan kunci air di saliran monsun Jalan Mat Raji serta penambahbaikan sistem saliran dengan perbincangan bersama JKR serta Pejabat Daerah dan Tanah berikutan kawasan terbabit melibatkan kawasan pembangunan luar bandar.

“Buat masa ini, keadaan banjir di Padang Jawa masih terkawal, namun risiko air naik terutama di Jalan Mat Raji tetap ada sekiranya berlaku hujan lebat berikutan sistem saliran di kawasan itu masih belum sempurna.

“Kita berharap kerja penambahbaikan yang dirancang dapat disegerakan bagi memastikan masalah banjir di kawasan berkenaan dapat dikurangkan,” katanya.

Senarai lokaliti banjir sebelum 2024 di DUN Batu Tiga:

  • Kampung Air Kuning bersebelahan Lebuhraya Persekutuan

  • Taman Intan, Batu Tiga

  • Taman Ros, Bukit Kuda

  • Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga

  • Seksyen 23-25, Shah Alam

  • Sekitar SK Padang Jawa

  • Jalan Mat Raji, Padang Jawa

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved