MBI Selangor Dan Farmerex Sdn Bhd Meterai Kerjasama Pembangunan Akuakultur Di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS)

Local
22 May 2026 • 4:45 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: MBI Selangor Dan Farmerex Sdn Bhd Meterai Kerjasama Pembangunan Akuakultur Di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS)
Imej oleh MBI Selangor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI Selangor”) hari ini memeterai kerjasama strategik bersama Farmerex Sdn Bhd menerusi pertukaran dua dokumen perjanjian bagi pembangunan projek penternakan akuakultur komersial di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (“ZIPS”), Sabak Bernam.

Majlis pertukaran dokumen yang berlangsung di Kuala Lumpur itu melibatkan Perjanjian Sewaan tanah seluas 50 ekar bagi tujuan penternakan akuakultur serta Perjanjian Usahasama pembangunan ladang penternakan akuakultur komersial. MBI Selangor diwakili oleh Ketua Zon Pembangunan Sabak Bernam, Puan Zannifa Azura Ahmad, manakala Farmerex Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan, Tuan Teoh Han Boon. Majlis tersebut turut disaksikan oleh YB. Dato’ Haji Rizam bin Haji Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam.

Farmerex Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Camaroe Berhad, sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dan mempunyai pengalaman luas dalam industri akuakultur serta pemprosesan hasil perikanan.

Kerjasama strategik ini menandakan langkah penting dalam pembangunan industri akuakultur moden di ZIPS dengan fokus utama kepada perancangan pembangunan penternakan udang secara komersial berteknologi tinggi. Projek ini juga bakal menjadi operasi pertama yang dimulakan di kawasan ZIPS sejak ia dirasmikan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Menteri Besar Selangor pada 25 April 2026.

Sebagai antara projek pemangkin utama di bawah Sabak Bernam Development Area (SABDA), pembangunan ZIPS sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan, memperkasa ekonomi biru serta merancakkan pembangunan luar bandar secara mampan dan inklusif.

ZIPS dirancang sebagai hab industri perikanan bersepadu yang merangkumi aktiviti penternakan akuakultur, pemprosesan hasil laut, logistik rantaian sejuk serta pembangunan industri hiliran bernilai tambah. Pembangunan ini dijangka memperkukuh ekosistem industri perikanan negeri di samping meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan laut tempatan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport. Selain menyokong agenda nasional dalam aspek keterjaminan makanan, projek ini turut dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat tempatan serta peningkatan penyertaan golongan belia dalam sektor akuakultur moden berasaskan teknologi dan inovasi.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, YBhg. Dato’ Ts. Saipolyazan M. Yusop berkata, “Kerjasama strategik ini merupakan satu lagi langkah signifikan MBI Selangor dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi negeri yang mampan dan berimpak tinggi. Pembangunan industri akuakultur moden di ZIPS bukan sahaja akan memperkukuh rantaian bekalan makanan negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat khususnya di Sabak Bernam. MBI Selangor komited untuk terus memudahcara pelaburan strategik yang mampu merangsang pembangunan industri bernilai tinggi, selaras dengan aspirasi SABDA sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu di utara Selangor.”

Kerjasama antara MBI Selangor dan Farmerex Sdn Bhd ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menarik pelaburan strategik, merangsang pembangunan ekonomi wilayah dan memperkukuh kedudukan Sabak Bernam sebagai hab ekonomi baharu yang progresif, mampan dan berdaya saing.