Kerajaan Negeri Johor menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan NSO Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City menghentikan semua operasi berkuat kuasa 22 Julai 2026.
Tindakan dibuat mengikut proses undang-undang
Menerusi kenyataan dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, beliau menyatakan tindakan itu dibuat mengikut proses dan peruntukan undang-undang selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.
Tindakan tegas diambil
Menurutnya tindakan penguatkuasaan hanya boleh dilaksanakan selepas aduan dan maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan serta ketidakpatuhan dikenal pasti mengikut proses undang-undang.
Jelasnya lagi, tempoh sesebuah premis beroperasi tidak bermaksud semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen, justeru tindakan tegas akan diambil apabila berlaku pelanggaran.
“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” ujarnya.
Dalam pada masa yang sama, beliau turut menegaskan Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merancakkan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri. Namun, katanya, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri.
“Namun begitu, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara,” katanya.

Onn Hafiz turut menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara. Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti atau pelanggaran syarat kemasukan ke negara.
Beliau menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) meneliti semula status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat ditetapkan.

Selain itu, semua agensi berkaitan disaran memperketat proses semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan dan bentuk operasi syarikat bagi memastikan setiap pelaburan antarabangsa mematuhi undang-undang negara.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan, kedaulatan dan pematuhan undang-undang.
Beliau turut memaklumkan semua perkara berkaitan tindakan tersebut telah disembah maklum serta mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Sumber: Facebook Onn Hafiz Ghazi






