MBPP lantik pakar kawalan anai-anai periksa bangunan warisan

7 Aug 2026 • 6:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MBPP lantik pakar kawalan anai-anai periksa bangunan warisan

GEORGE TOWN : Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melantik syarikat kawalan serangga perosak khususnya anai-anai serta perunding berkaitan bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap bangunan termasuk premis warisan di bandar raya ini.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran berkata, inisiatif itu diambil sebagai langkah proaktif bagi mengelakkan kejadian runtuhan akibat kerosakan struktur yang tidak dapat dikesan dari luar berulang.

“Di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO di bandar raya ini ( George Town) sahaja terdapat 82 bangunan warisan Kategori 1 dan 3,771 bangunan warisan Kategori 2 yang memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan serta pemeliharaan nilai warisannya.

“Jadi, kita akan melantik perunding sendiri untuk memeriksa bangunan yang dikenal pasti berisiko selain melantik syarikat kawalan perosak bagi memeriksa bangunan-bangunan berisiko termasuk bangunan warisan.

“Walaupun tanggungjawab melantik perunding ini sebenarnya terletak kepada pemilik bangunan itu sendiri, namun, MBPP bersedia menanggung kos pemeriksaan bagi kes-kes tertentu demi keselamatan awam,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Selasa lalu, dua pelancong Sri Lanka dilaporkan cedera selepas dihempap runtuhan batu dan kayu daripada struktur rasuk sebuah bangunan warisan di Lebuh Armenian di sini.

Dalam pada itu, Rajendran memberitahu, pemeriksaan tersebut akan dimulakan di kawasan warisan sebelum ia diperluas ke bangunan-bangunan lain yang dikenal pasti memerlukan tindakan segera.

“Sekiranya hasil pemeriksaan mendapati sesebuah bangunan itu tidak lagi selamat, MBPP akan mengeluarkan notis kepada pemilik supaya kerja pembaikan dilakukan dan bagi kes yang lebih serius, premis berkenaan mungkin diarah untuk dikosongkan.

Mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan sedia ada pula, Rajendran berkata, MBPP sentiasa mengeluarkan notis kepada pemilik bangunan yang gagal menyelenggara premis mereka.

“Setakat ini, kita telah mengeluarkan notis melibatkan 66 unit bangunan yang kurang diselenggara serta 63 premis usang yang memerlukan perhatian segera kerana dikhuatiri boleh mengundang risiko keselamatan,” katanya.-UTUSAN

The post MBPP lantik pakar kawalan anai-anai periksa bangunan warisan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved