MBPP sita barangan tiga premis perniagaan warga asing

1 Sep 2026 • 8:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MBPP sita barangan tiga premis perniagaan warga asing
Anggota penguat kuasa MBPP menyita pelbagai barangan dari premis yang diserbu.- Foto: FB MBPP
Image from: MBPP sita barangan tiga premis perniagaan warga asing
Sebanyak 703 tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dikendalikan warga asing direkodkan bagi tempoh 2022 hingga 2026. - Foto: FB MBPP

GEORGE TOWN – Tiga premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di Jalan Macalister di sini dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk penyitaan barangan dan penutupan selepas video berkaitan lokasi itu tular di media sosial.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, tindakan terbaharu itu dilaksanakan pada Selasa susulan aduan serta video yang dimuat naik di TikTok pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan tiga premis dan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan MPPP 1991, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Dalam operasi tersebut, barangan perniagaan terutama barangan basah telah disita dan dilupuskan serta-merta mengikut prosedur ditetapkan.

“Barangan yang disita tidak dikembalikan kepada peniaga,” katanya.

**media[3633428]**

MBPP berkata, penguatkuasaan di lokasi sama bukan perkara baharu apabila operasi sebelum ini turut dilaksanakan pada 15 November dan 2 Disember tahun lalu serta 24 Februari tahun ini.

Menurutnya, tindakan berkenaan membuktikan pihak berkuasa tempatan terbabit sentiasa memantau aktiviti perniagaan yang dikendalikan warga asing dan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan ditetapkan.

“Setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“MBPP akan terus mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, MBPP memaklumkan sebanyak 703 tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan yang dikendalikan warga asing direkodkan bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 37 tindakan diambil pada 2022, diikuti 127 pada 2023, 212 (2024), 263 (2025) dan 64 tindakan sehingga 2026.

MBPP menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbirannya mematuhi undang-undang serta syarat yang ditetapkan.

Sebelum ini, dua hantaran TikTok oleh akaun Team Surplus Pulau Pinang dan Team Surplus KL/Selangor mendakwa terdapat warga asing menjalankan aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan di sekitar Jalan Macalister dan hadapan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk aktiviti perniagaan tanpa papan tanda serta penyembelihan ayam di premis berkenaan.

Hantaran berkenaan turut mempersoalkan tahap penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan dan menggesa tindakan lebih tegas serta konsisten diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved