
ALOR SETAR – Kegiatan seorang lelaki yang disyaki menjadikan minyak masak peket bersubsidi sebagai minyak masak terpakai terbongkar apabila sebuah premis di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, penguat kuasa KPDN Alor Setar menemukan sebanyak 1,823 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi yang disembunyikan di dalam tangki fiber di premis mengumpul minyak masak terpakai tersebut.
Harga bagi minyak masak terpakai adalah kira-kira RM3.50 sekilogram berbanding minyak masak peket bersubsidi RM2.50 sekilogram.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berhubung penyelewengan minyak masak peket satu kilogram di premis tersebut.
“Pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan 1,823 kg minyak masak peket bersubsidi, namun pemiliknya gagal mengemukakan permit menyimpan atau lesen menjual barang kawalan berjadual.
“Pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis. Kesemua barangan iaitu minyak masak peket dan dua tangki fiber disita dengan nilai keseluruhan RM5,457.50,” katanya di sini hari ini.
Katanya, lelaki terbabit kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai rakaman percakapan dan urusan dokumentasi dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
“Individu yang disabitkan kesalahan pertama boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan kedua dan seterusnya membawa denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Mereka yang cuba menyeleweng subsidi kerajaan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan paling tegas tanpa sebarang toleransi,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Padah kaut untung, minyak masak subsidi dijadikan minyak terpakai appeared first on Kosmo Digital.






