
MARANG: Kegiatan perlombongan emas secara haram seluas 4.04 hektar di Bukit Kor di sini, yang dipercayai dikendalikan seorang individu dikenali sebagai ‘Mak Siti’ terbongkar selepas diserbu dalam Op Gali Mega Zon Timur, hari ini.
Serbuan oleh pasukan risikan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama agensi penguat kuasa itu membawa kepada penahanan 15 individu serta rampasan pelbagai peralatan perlombongan bernilai kira-kira RM449,400.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi bersepadu itu melibatkan dua pegawai dan 10 anggota terdiri daripada Briged Tenggara PGA 9 Terengganu bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, pihak berkuasa tempatan serta unit penguatkuasaan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, Op Gali Mega Zon Timur dilaksanakan bagi membanteras kegiatan perlombongan haram serta rangkaian jenayah berkaitan secara menyeluruh.
“Operasi ini dilaksanakan susulan kebimbangan terhadap kegiatan perlombongan haram yang semakin tersusun dan terancang termasuk penggunaan jentera berat, operasi di kawasan terpencil serta kewujudan rangkaian logistik bagi pengangkutan dan pemprosesan mineral.
“Kegiatan ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan alam sekitar dan menjejaskan keselamatan awam, malah berpotensi melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam sidang media di Bukit Kor.
Ahmad Radzi berkata, Op Gali Mega Zon Timur kali ini membabitkan lima lokasi sasaran utama di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, tiga lokasi dikenal pasti di Pahang manakala masing-masing satu di Terengganu dan Kelantan.
“Daripada keseluruhan sasaran, lokasi di Bukit Kor adalah sasaran berimpak tinggi dan tindakan di sini berjaya menahan 15 individu serta merampas sebuah jentera berat, lapan pam air, tiga generator, dua pengayak emas dan sebuah mesin pemecah batu.
“Turut dirampas kenderaan, enjin, peralatan pemprosesan serta bahan mineral yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan perlombongan emas secara haram,” katanya.
Beliau berkata, hasil risikan mendapati aktiviti perlombongan di kawasan itu dipercayai dikendalikan individu dikenali sebagai ‘Mak Siti’ dan menggunakan tenaga pekerja asing, khususnya warga Kemboja dan Vietnam.
Katanya, modus operandi kegiatan itu dipercayai membabitkan kerja penggalian bawah tanah sehingga kira-kira enam meter sebelum tanah dan batu dikeluarkan menggunakan jentera untuk dibawa ke kawasan pemprosesan.
“Bahan berkenaan kemudian dihancurkan sebelum melalui proses pembersihan, tapisan dan ayakan bagi mendapatkan sisa yang dipercayai mengandungi emas.
Berdasarkan maklumat risikan, emas yang diperoleh dipercayai diproses menggunakan merkuri sebelum dikumpulkan dan dijual kepada seorang pembeli tempatan yang dikenali sebagai ‘Pak Lang’,” katanya.
Malah hasil risikan, mereka mampu memperoleh dua hingga 40 gram emas sehari.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai bukan sekadar perlombongan kecil-kecilan, sebaliknya mempunyai rangkaian operasi tersusun bermula daripada penggalian, pengeluaran bahan, pemprosesan, pengasingan emas sehingga pemasaran.
“Risikan terhadap kegiatan ini sudah dijalankan selama beberapa bulan sebelum operasi dilancarkan mengikut ketetapan yang diarahkan.Hasil soal siasat awal mendapati kumpulan yang ditahan dipercayai baru beroperasi di lokasi ini kira-kira sebulan, manakala aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan dipercayai sering bertukar tangan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, daripada 15 individu yang ditahan melibatkan tujuh warga Kemboja, seorang warga Vietnam dan tujuh rakyat tempatan.
Katanya, sebahagian pekerja asing yang ditahan dipercayai mempunyai pasport tetapi telah melebihi tempoh tinggal yang dibenarkan selain melanggar syarat kemasukan.
“Mereka ada yang masuk menggunakan visa pelancong tetapi bekerja di sini dan ada yang dipercayai sudah hampir setahun berada di Malaysia tanpa keluar.Semua tindakan, tangkapan dan rampasan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa agensi berkaitan,” katanya. – UTUSAN
The post Lombong emas haram ‘Mak Siti’ di Marang kena serbu, rampasan hampir setengah juta appeared first on Utusan Malaysia.





