MBSA percepat bina laluan pejalan kaki ke stesen LRT3

1 Jul 2026 • 2:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MBSA percepat bina laluan pejalan kaki ke stesen LRT3

SHAH ALAM, 1 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan terus bekerjasama rapat dengan pemaju bagi mempercepat pembinaan laluan pejalan kaki dan kemudahan awam lain di sekitar stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) susulan kebimbangan terhadap akses yang masih tidak lengkap untuk pengguna.

Datuk Bandarnya, Dato' Zabidah Safar berkata kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang mewajibkan pemaju menyediakan kemudahan awam sebagai syarat kelulusan pembangunan.

"Semua kemudahan awam yang diperlukan, termasuk laluan pejalan kaki, telah ditetapkan sebagai syarat dalam kelulusan perancangan yang diberikan MBSA. Kami akan terus memantau kemajuan projek dan bekerjasama rapat dengan pihak pemaju.

"Jika terdapat keperluan untuk mempercepatkan pembinaan, kami akan memberikan bantuan yang sewajarnya," katanya pada sidang media di Stesen LRT3 Stadium Shah Alam hari ini.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Dato' Ng Suee Lim serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi.

Tinjauan dilakukan susulan tular video memaparkan laluan pejalan kaki yang masih tidak lengkap, sekali gus dikhuatiri membahayakan pengguna, khususnya pelajar universiti yang bergantung kepada pengangkutan awam.

Zabidah berkata peranan MBSA adalah memastikan pemaju mematuhi syarat yang ditetapkan dalam kelulusan perancangan.

Beliau berkata pembangunan di kawasan berkenaan melibatkan beberapa pemaju termasuk Mori Park dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menurutnya, tempoh penyiapan kemudahan itu bergantung kepada kemajuan projek pembangunan masing-masing.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved