amree30/07/2026 - 10:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — Sektor hartanah di Malaysia terus menunjukkan komitmen terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), namun masih berdepan dengan beberapa kelemahan utama.
Menurut analisis MBSB Research, ini termasuk dari segi piawaian bangunan hijau, pembiayaan hijau, penggunaan pajakan hijau serta mekanisme penetapan harga karbon, berbanding standard negara maju.
Walaupun penarafan ESG syarikat hartanah tempatan kekal stabil, Malaysia masih ada ruang luas bagi memperkukuh daya saing sektor itu agar setanding dengan pasaran seperti Singapura dan Australia.
"Semakan terkini FTSE4Good Bursa Malaysia pada Jun 2026 menunjukkan empat pemaju di bawah liputan kami mengekalkan penarafan ESG empat bintang, manakala tiga memperoleh tiga bintang," tambahnya.
Ia merujuk Sunway Berhad, IOI Properties Group, Mah Sing Group dan Eco World memperoleh penarafan tertinggi, sementara Matrix Concepts Holdings, SP Setia dan UOA Development pula menyusul selepas itu.
Ujarnya, kestabilan penarafan mencerminkan komitmen berterusan syarikat hartanah mengurus risiko ESG melalui pelaksanaan pensijilan bangunan hijau, dan pemasangan sistem solar fotovolta (PV).

Tambah MBSB Research, kesemua pemaju terbabit juga melaksanakan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta proses pembangunan bandar secara mampan dalam projek hartanah masing-masing.
"Pelaksanaan amalan bangunan hijau namun masih banyak bergantung kepada inisiatif pasaran kerana pensijilan seperti Green Building Index (GBI) dan GreenRE masih lagi bersifat sukarela," katanya.
Selain itu, penggunaan pembiayaan hijau dalam kalangan pemaju masih di peringkat awal walaupun beberapa syarikat memanfaatkan pinjaman berkaitan dengan tema sukuk hijau untuk projek mesra alam.
MBSB Research juga melihat penggunaan pajakan hijau masih rendah sedangkan pendekatan itu membantu pemilik atau penyewa meningkatkan kecekapan tenaga, serta menurunkan kos operasi jangka panjang.
Pada masa sama, mekanisme penetapan harga karbon kurang diamalkan dalam sektor hartanah dan hanya segelintir syarikat mengguna pakai pendekatan tersebut dalam proses membuat keputusan pelaburan.
"Justeru, kami berpendapat Malaysia perlu memperkukuh dasar berkaitan ESG melalui piawaian minimum bangunan hijau, dan memperluas akses pembiayaan hijau, serta garis panduan harga karbon," katanya.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor hartanah kerana percaya pengukuhan amalan ESG mampu meningkatkan kecekapan operasi, dan prestasi kewangan jangka panjang.
Ia memilih IOI Properties dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM4.64 serta Mah Sing Group (beli, TP RM1.25) sebagai saham pilihan utama untuk diberi perhatian pelabur. - DagangNews.com






