Pendapatan AWC diunjur melonjak apabila kontrak sedia ada diperbaharui dengan terma baharu - Apex Securities

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2025 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan AWC diunjur melonjak apabila kontrak sedia ada diperbaharui dengan terma baharu - Apex Securities

image is not available

11/08/2025 - 14:42

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pendapatan AWC Berhad diunjur melonjak dengan ketara dalam 12 bulan akan datang dipacu pembaharuan kontrak konsesi sedia ada dengan terma baharu, kata Apex Securities.

Katanya, beberapa kontrak yang hampir tamat telah diperbaharui pada kadar tetap dan AWC juga mencadangkan struktur bayaran secara berperingkat dalam rundingan pembaharuan kontrak dengan kerajaan.

Firma penyelidikan itu berkata, nilai kontrak tersebut juga boleh menjadi lebih tinggi sekiranya program pengubahsuaian aset turut diperbaharui.

“Berdasarkan rekod prestasi operasinya, AWC berada dalam kedudukan baik untuk mendapatkan pembaharuan konsesi dengan terma yang dipertingkatkan, sekali gus berpotensi menyokong pemulihan margin,” katanya dalam satu nota kajian.

Apex Securities menyertai dua firma penyelidikan lain yang memberikan penarafan "beli" kepada AWC.

Harga sasaran purata kini adalah RM1.14, menurut purata tiga firma tersebut — menunjukkan potensi kenaikan besar sebanyak 104% daripada harga semasa dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Apex Securities berkata, AWC menyediakan perkhidmatan pengurusan fasiliti untuk bangunan kerajaan persekutuan dan perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal untuk pembangunan bertingkat tinggi.

Katanya, syarikat itu juga mempunyai perniagaan berkaitan pengumpulan sisa automatik dan rel.

Pada masa ini, syarikat memegang konsesi kerajaan bernilai RM555 juta untuk menyelenggara 31 bangunan kerajaan persekutuan yang dijangka tamat pada Disember 2025.

Walaupun ia memberikan aliran hasil yang stabil, perniagaan teras AWC masih tertekan kerana harga tetap menyukarkan syarikat untuk memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan.

“Keuntungan dijangka bertambah baik apabila kontrak yang mencatatkan kerugian tamat, dan projek baharu diperoleh dengan harga yang disemak semula,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan lonjakan keuntungan sebanyak 49% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26) kepada RM33.1 juta berbanding tahun sebelumnya, disokong usaha untuk mengembangkan perniagaan bukan konsesi yang menyumbang kira-kira separuh daripada keuntungan sebelum cukai segmen dalam FY24.

“Kontrak-kontrak ini secara amnya menawarkan margin yang lebih tinggi dan tempoh yang lebih singkat, membolehkan pusingan modal yang lebih pantas serta meningkatkan kecekapan komersial,” kata Apex Securities.

Tambahan lagi, AWC turut membida kontrak bagi program penyelenggaraan hospital dan peralatan perubatan, menurut firma tersebut.

Apex Securities berkata, AWC juga menyasarkan peluang kerja bernilai antara RM300 juta hingga RM400 juta berkaitan kerja-kerja trek, pengisaran dan penyelenggaraan peralatan depoh di bawah projek Mutiara Line Pulau Pinang, dan rekod prestasi syarikat dalam projek terdahulu menjadikannya “calon kuat” untuk memperoleh kontrak tersebut. - DagangNews.com

standard