amree06/10/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt — Penyedia perkhidmatan kejuruteraan awam dan alam sekitar, Wil-Key Berhad merancang penyenaraian di Pasaran ACE menjelang suku pertama 2027 selepas menerima kelulusan rasmi daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk berbuat demikian.
Ujarnya, langkah itu memperkukuh keupayaan mengembangkan perniagaan infrastruktur awam serta alam sekitar selain meneroka bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya loji jana kuasa biogas.
Menurut kenyataan, kumpulan tersebut mempunyai rekod operasi selama kira-kira 25 tahun sejak memulakan perniagaan pada 2001, dengan ibu pejabatnya yang terletak di Puchong, Selangor serta kemudahan perkhidmatan di negeri berkenaan dan Johor.
"Wil-Key melalui anak syarikatnya memang khusus dalam kerja pembinaan infrastruktur awam dan alam sekitar, pembekalan serta pemasangan sistem geosintetik, selain membekalkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berkaitan," jelasnya.
Perniagaan kumpulan itu katanya, merangkumi sektor yang dikawal selia dari aspek alam sekitar, termasuk pengurusan sisa, biogas dan RE, rawatan air dan air kumbahan, pertanian serta akuakultur dan infrastruktur awam.
Di samping itu, kumpulan berkenaan turut terlibat dalam pembinaan kemudahan pengurusan enapcemar baharu di Singapura bernilai RM138 juta yang dianugerahkan oleh Public Utilities Board pada 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Wil-Key, Eric Yap Ming Der berkata permintaan dalam pasaran teras kumpulan itu didorong oleh peraturan alam sekitar serta keperluan terhadap perkhidmatan awam asas.
"Penyenaraian ini bakal mengukuhkan kapasiti Wil-Key untuk mengembangkan perniagaan sedia ada, di samping membuka ruang kepada pengembangan dalam EPCC kemudahan tenaga boleh baharu, terutama kemudahan penjanaan kuasa biogas," tambah beliau.
Katanya, bagi tawaran awam permulaan (IPO), kumpulan tersebut akan menerbitkan sejumlah 88.46 juta saham biasa baharu dan menawarkan untuk jualan sebanyak 38.25 juta saham biasa sedia ada.
Keseluruhan saham yang ditawarkan itu ujarnya, mewakili kira-kira 28.2% daripada modal saham terbitan diperbesarkan Wil-Key sebanyak 450 juta saham biasa selepas penyenaraian berkenaan.
TA Securities Holdings Berhad dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen peletakan tunggal bagi IPO kumpulan berkenaan. - DagangNews.com





