
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menggesa pengguna dan platform supaya tidak menyebarkan semula rakaman serangan di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak kerana perkongsian berulang boleh memanjangkan kesan mudarat dan memperluas penyebaran kandungan ganas.
CMCF menerusi satu kenyataan semalam (22 Oktober) berkata, penyebaran siaran langsung, rakaman, klip dan tangkap layar daripada kejadian tersebut menimbulkan persoalan yang lebih luas tentang apa yang berlaku apabila insiden keganasan sebenar terus hidup sebagai kandungan dalam talian.
“Orang ramai digesa supaya tidak memuat turun, memuat naik semula atau memanjangkan rakaman kejadian itu, termasuk melalui kumpulan pesanan peribadi, dan sebaliknya menggunakan fungsi pelaporan yang disediakan oleh platform apabila menemui kandungan tersebut.”
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata tanggungjawab terhadap kandungan sedemikian tidak berakhir apabila siaran langsung asal terhenti.
“Kadangkala orang beranggapan bahawa apabila sesuatu sudah tular, satu lagi perkongsian tidak akan membawa banyak bezanya. Hakikatnya, sesuatu menjadi tular kerana keputusan individu untuk terus berkongsi. Ada waktunya, tanggungjawab kita dalam ruang digital bermula dengan memilih untuk tidak menekan butang ‘kongsi’.”
CMCF turut menggesa pencipta kandungan, halaman media sosial dan akaun yang mempunyai capaian besar supaya tidak menjadikan insiden tersebut sebagai kandungan reaksi atau menggunakan rakaman serangan sebagai imej kecil, kompilasi atau kandungan yang bertujuan utama menarik perhatian dan interaksi.
Perbincangan mengenai isu berkepentingan awam masih boleh dilakukan tanpa mengulang tayang bahan grafik atau mengganggu yang sama, katanya.
CMCF berkata tanggungjawab kendiri dalam ekosistem digital melibatkan semua pihak, termasuk platform, pencipta kandungan dan pengguna biasa. Apabila kandungan berbahaya ditemui dalam talian, pengguna digalakkan untuk melaporkannya melalui saluran platform yang berkaitan dan bukannya memuat turun atau menyebarkannya semula.
Peringatan sama turut dibangkitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menegaskan sebarang rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya membabitkan kanak-kanak, tidak wajar dimuat naik, dikongsi atau disebarkan kerana boleh menjejaskan privasi, maruah serta kesejahteraan emosi mangsa dan keluarga mereka.
“Pendedahan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
“Penyebaran kandungan berkenaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], sekiranya didapati melanggar peruntukan undang-undang berkenaan,” kata kenyataan itu.
Tambah MCMC, pihaknya sedang bekerjasama dengan penyedia platform media sosial bagi menangani penyebaran rakaman tersebut termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.
Sehubungan itu, individu yang telah memuat naik atau berkongsi rakaman berkenaan diminta segera memadamkannya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan semula kandungan terbabit bagi melindungi privasi kanak-kanak selain mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa.






