MCMC ingatkan orang ramai henti sebar gambar, video insiden tikaman pelajar

15 Oct 2025 • 5:18 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan Tingkatan 4 yang maut dalam insiden tragik di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi Selasa.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, MCMC menggesa semua pihak agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyebarkan sebarang kandungan berkaitan kejadian tersebut di media sosial, termasuk gambar, video atau rakaman audio yang memaparkan mangsa, pelajar lain mahupun lokasi kejadian.

“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya. Tindakan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, tetapi juga boleh menjejaskan siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tegas kenyataan itu.

MCMC turut mengingatkan bahawa perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara kepada individu yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian untuk menyebarkan kandungan tidak wajar.

Sementara itu, MCMC menyeru masyarakat agar menghormati sensitiviti keluarga mangsa dan mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian berkenaan.

“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM bagi memastikan penyebaran maklumat palsu atau kandungan yang menyinggung perasaan mangsa serta keluarga dapat dibendung,” tambah kenyataan tersebut.

Terdahulu, Malaysia dikejutkan dengan laporan seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 maut selepas ditikam oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki Tingkatan 2, di dalam kawasan sekolah sekitar jam 9.30 pagi.