liza30/10/2026 - 16:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt – MajuBina Resources Sdn Bhd diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM15.32 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas gagal menyiapkan kerja-kerja di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) 1 di Sabah mengikut tempoh ditetapkan.
Perintah itu dibuat Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi penghakiman terus yang memihak kepada MCMC, membabitkan tuntutan berjumlah RM15,324,832.31.
Selain jumlah berkenaan, mahkamah turut mengarahkan syarikat kontraktor itu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada MCMC.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan undang-undang itu difailkan pada Februari 2026 bagi mendapatkan semula ganti rugi yang timbul susulan kelewatan pelaksanaan kerja di bawah projek JENDELA 1.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang bertujuan memperluas liputan serta akses perkhidmatan komunikasi, khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan yang masih kurang mendapat kemudahan tersebut.
Pematuhan kontrak jadi keutamaan
MCMC menegaskan semua projek infrastruktur komunikasi yang dibiayai menerusi dana USP perlu dilaksanakan berdasarkan obligasi kontrak serta tempoh penyelesaian yang telah dipersetujui.
Menurut suruhanjaya itu, pematuhan terhadap syarat berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan kemudahan kesalinghubungan digital dapat dinikmati masyarakat, terutama penduduk di kawasan luar bandar serta kawasan yang kurang mendapat liputan.
Keputusan mahkamah itu turut memperlihatkan kepentingan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi negara, termasuk memastikan pihak kontraktor memenuhi tanggungjawab yang telah dipersetujui.
MCMC berkata pihaknya akan terus memastikan dana USP digunakan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan akses orang ramai kepada perkhidmatan komunikasi berkualiti. - DagangNews.com






