liza28/10/2026 - 17:55 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt – Ann Joo Resources Berhad (AJR) menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, IAC Infrastructure Sdn Bhd (IACI), memperoleh kontrak subkontrak bernilai RM61.89 juta bagi kerja berkaitan pembangunan loji fotovolta solar berskala besar berkapasiti kira-kira 100 megawatt arus ulang-alik (MWac) di wilayah utara.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata IACI memeterai perjanjian subkontrak berkenaan dengan sebuah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pada 2 Oktober 2026.
“Kontrak itu melibatkan kerja reka bentuk dan pembinaan secara siap guna, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, pengujian serta pentauliahan kemudahan sambungan elektrik dan talian penghantaran bagi projek berkenaan,” katanya dalam makluman tersebut.
Identiti kontraktor EPCC itu tidak didedahkan atas faktor kerahsiaan. Bagaimanapun, syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia dan menjalankan aktiviti utama dalam pembekalan serta perkhidmatan elektrik dan mekanikal.
Projek solar berkapasiti 100MWac
Tenaga elektrik yang dijana daripada loji itu dirancang untuk disalurkan ke grid nasional menerusi sistem penghantaran elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut AJR, pembangunan tersebut selaras dengan usaha Malaysia meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu melalui pembangunan kemudahan solar berskala besar.
Projek dijangka siap menjelang suku ketiga 2027
AJR memaklumkan bahawa projek itu dijangka siap pada atau sebelum suku ketiga 2027, sekiranya tiada keadaan luar jangka.
Antara risiko yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek termasuk kekurangan bahan, kekurangan tenaga kerja mahir, kelewatan serta kemungkinan penamatan atau penggantungan kontrak.
Bagi mengurangkan risiko operasi, kumpulan itu mengamalkan pengurusan projek secara berhemat. Pasukan pelaksana projek juga mempunyai pengalaman melaksanakan projek seumpamanya di Malaysia dan pasaran serantau sepanjang 25 tahun lalu. - DagangNews.com





