liza29/10/2026 - 12:05 Projek tebatan banjir Sungai Kemasik di Kemaman, Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 29 Okt – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kemasik bernilai RM47.03 juta yang dibina sejak Mac 2023 siap sepenuhnya pada 15 Oktober lalu dengan pelbagai kerja naik taraf sungai dan sistem kawalan banjir dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di Kemasik, Terengganu.
Projek RTB Sungai Kemasik dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi meningkatkan keupayaan sistem sungai dan saliran serta mengurangkan risiko banjir di kawasan Kemasik dan sekitarnya.
Perancangan projek itu bermula sejak 2019, ketika urusan pengambilan tanah masih dalam proses mendapatkan kelulusan untuk mengatasi masalah banjir yang serius di sekitar kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, projek itu bertujuan meningkatkan keupayaan sistem sungai dan saliran dalam mengawal aliran air, selain mengurangkan risiko banjir serta kerosakan harta benda dan infrastruktur.
Kolam takungan 30 hektar, ban sepanjang tujuh kilometer
“Skop utama projek merangkumi kerja mendalamkan sungai, pembinaan ban sepanjang tujuh kilometer dan kolam takungan seluas 30 hektar.
“Projek itu turut melibatkan pembinaan jambatan di Sungai Sekilir serta pemasangan komponen kawalan banjir, termasuk pam, pintu kawalan banjir dan sistem pemantauan serta kawalan,” katanya.
Banjir yang sering berlaku di Kemasik dipengaruhi beberapa faktor termasuk pembangunan pesat di kawasan tadahan hulu, keadaan sungai yang sempit dan cetek, mendapan pasir di muara serta halangan aliran air di Sungai Sekilir.
Pelaksanaan projek berkenaan diharap dapat membantu mengawal aliran air dan mengurangkan risiko limpahan sungai yang menjejaskan kawasan penempatan penduduk.
Empat kampung antara kawasan terjejas
Lebih 1,500 penduduk di empat kampung, iaitu Kampung Baru Kiri, Kampung Baru Kanan, Kampung Gong Chengal dan Kampung Sarang Lang, antara yang berdepan risiko banjir setiap kali Monsun Timur Laut.
Hanafiah berkata dengan siapnya projek tersebut, kerajaan negeri optimis kerugian akibat banjir dapat dikurangkan.
Baru-baru ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengenal pasti sebanyak 460 lokasi berisiko banjir di seluruh negeri susulan Monsun Timur Laut yang bermula pada 27 Oktober 2026, dengan Kemaman antara daerah yang diberi perhatian.
Daripada jumlah itu, Kuala Terengganu merekodkan lokasi berisiko tertinggi iaitu 97 kawasan diikuti Dungun (72 lokasi) dan Hulu Terengganu dengan 63 lokasi. - DagangNews.com





