MCMC perlu 45 minit proses satu permohonan turunkan kandungan scam

LocalTechnology
19 Aug 2026 • 4:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MCMC perlu 45 minit proses satu permohonan turunkan kandungan scam

PUTRAJAYA: Setiap permohonan untuk menurunkan kandungan penipuan dalam talian (scam) memerlukan antara 30 hingga 45 minit untuk diproses oleh petugas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ia sekali gus memberi gambaran cabaran besar yang dihadapi kerajaan dalam membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa.

Beliau berkata, kerajaan telah mewartakan dua kod baharu iaitu Child Protection Code (CPC) dan Risk Mitigation Code (RMC) yang perlu dipatuhi platform media sosial bagi memastikan kandungan berbahaya termasuk scam, perjudian dalam talian dan eksploitasi kanak-kanak dapat dikawal dengan lebih berkesan.

“Menerusi dua kod itu, platform-platform media sosial yang dikenal pasti diberikan tempoh beberapa bulan untuk mematuhi kedua-dua kod tersebut sebelum tindakan susulan diambil.

“Ini bagi mengelakkan kandungan yang memudaratkan serta boleh mengancam harta atau nyawa pengguna dalam platform masing-masing daripada terus dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 127,568 kandungan scam telah dikenal pasti dan diminta diturunkan, termasuk pengumuman palsu berkaitan bantuan kerajaan seperti dakwaan tambahan bayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak pernah diumumkan Kementerian Kewangan.

Fahmi berkata, jumlah itu mewakili 27 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan yang dibuat MCMC kepada platform media sosial.

“Sebanyak 53 peratus kandungan scam yang diminta diturunkan berada di Facebook, manakala 39 peratus di TikTok dan selebihnya di platform lain,” katanya.

Katanya, Facebook dan TikTok kini menjadi platform utama yang digunakan sindiket bagi menyebarkan maklumat palsu dan penipuan kepada orang ramai.

Justeru, katanya, beliau turut menggalakkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan melalui platform semakan fakta seperti Sebenarnya.my dan MyCheck selain merujuk laporan media arus perdana sebelum mempercayai sebarang maklumat yang tular di media sosial. – UTUSAN

The post MCMC perlu 45 minit proses satu permohonan turunkan kandungan scam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved